Tuesday, February 10, 2009

Senyum untuk nilai murni

Senyum untuk nilai murni

TAHUN ini merupakan tahun ketiga Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Istana Negara pada 11 Januari 2005.

Tahun lepas kempen ini menggunakan tema Kesopanan di mana ia selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ yang diterjemahkan ke dalam aktiviti-aktiviti kekeluargaan, pembelajaran, kemasyarakatan dan perkhidmatan.

Tahun ini tema kempen ini ialah ‘Bersih dan Senyum’ seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim ia dilaksanakan kerana terdapat di kalangan masyarakat masa kini yang mempunyai nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar serta tidak mengendahkan tatasusila.

Realitinya masyarakat Malaysia memang sukar untuk menjaga kebersihan terutama di kawasan-kawasan awam, cuba kita lihat tandas-tandas awam, taman-taman awam dan apa sahaja yang menjadi hak milik awam semuanya tidak terjaga dan kotor.

Masyarakat negara ini pada realitinya juga tidak mudah memberikan senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah berbudi atau kepada sesiapa sahaja yang telah membantu kita.

Itulah realitinya masyarakat Malaysia kurang menjaga kebersihan dan kurang memberikan senyuman walaupun kepada rakan sepejabat.

Maka kata-kata Rais bahawa kempen bersih dan senyum ini dilaksanakan untuk menyemarakkan sikap positif di kalangan masyarakat Malaysia baik yang berada di bandar, luar bandar, di rumah dan di tempat kerja memang tepat pada masanya.

‘‘Kita pada masa ini sukar untuk mengucapkan salam, selamat datang dan pelbagai lagi kata-kata aluan serta sukar untuk memberikan senyuman atau berkhidmat dengan senyuman,’’ katanya semasa melancarkan Kempen Menyemarakkan Budaya Bersih dan Senyum di Kalangan Masyarakat Pelbagai Lapisan di Jalan Hussain, Chow Kit Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Pemilihan Chow Kit sebagai tempat pelancaran kempen ini juga memberi makna yang tersendiri kerana semua orang mengenali tempat ini sebagai kawasan yang penuh dengan kedukaan, kotor, tempat di mana penagih tegar berada dan pelbagai lagi perkara yang negatif.

Menurut Rais pemilihan Chow Kit sebagai pelancaran kempen ini dibuat kerana latar belakang dan sejarah kawasan ini.

Bersih dan senyum amat penting kepada kemanusiaan tetapi malangnya ia tidak menjadi amalan harian masyarakat Malaysia.

Berapa kerap kita memberikan senyuman ikhlas kepada suami atau isteri, anak-anak, ahli keluarga, rakan sepejabat dan pelanggan. Kenyataan Rais ini mungkin realiti apa yang berlaku sekarang, senyum tidak ada di wajah kita walaupun senyum itu amat penting dalam amalan harian sama ada semasa melayani masyarakat, pelanggan atau orang ramai baik di kaunter atau meja hadapan di jabatan kerajaan atau swasta.

Apa yang menyegarkan, kementerian akan membawa kempen bersih dan senyum ini terus ke masyarakat iaitu di Jalan Petaling dan Kampung Keramat - dua tempat yang kita jarang melihat kebersihan dan senyuman sebagai amalan hidup.

Lambang senyuman akan dipopularkan bukan sahaja di pusat-pusat membeli-belah malahan akan dipopularkan di kedai kecil.

No comments: